Mengubah ciptaan Allah - Perbuatan yang dilaknat
BUDAYA mencukur bulu kening sudah menjadi satu trend dalam masyarakat hari ini yang dipercayai berpunca daripada pengaruh Barat.
Orang Timur mudah mengikuti apa yang cuba dipopularkan Barat, walaupun ia bertentangan dengan norma dan hukum agama.
Namun, globalisasi mampu mengubah segala-galanya, waima budaya dan cara hidup sekalipun. Demikian menurut Pengarah Pusat Islam Universiti Putra Malaysia, Dr. Amini Amir Abdullah.
Beliau berpendapat, sebagai sebuah negara yang sudah mencapai kemerdekaan sejak 48 tahun lalu, masyarakat Islam harus mempunyai identiti tersendiri dan tidak perlu terikut-ikut dengan apa yang ditinggalkan oleh penjajah.
``Kita mudah meniru budaya orang lain hingga kita lupa bahawa segala ciptaan Allah s.w.t. adalah yang terbaik. Mengekalkan keaslian pada wajah akan menampilkan rupa paras yang lebih menarik,'' tegas beliau ketika diminta mengulas kecenderungan wanita moden hari ini mencukur bulu kening semata-mata untuk kelihatan menawan.
Amini turut menegur sesetengah wanita yang cenderung memakai bulu mata palsu atau melentikkan alis mata agar ia tampak cantik dan mempesonakan tanpa memikirkan kesan yang akan dihadapi.
Beliau menceritakan, semasa zaman Nabi Yusof, kebanyakan kaum wanitanya mempunyai bulu kening yang tebal tetapi itu tidak mendatangkan masalah kepada mereka.
Sesungguhnya sebaik-baik ciptaan Allah s.w.t. adalah manusia yang sempurna dari segi akal dan anggota tubuh badan.
Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud, Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu keningnya atau bulu muka atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu
keningnya, wanita yang mengasah
gigi supaya kelihatan cantik. Perbuatan itu telah mengubah ciptaan Allah.
``Berdasarkan hadis di atas, secara komprehensif apabila Allah s.w.t. sebut `melaknat', itu menunjukkan penegasan tentang betapa perbuatan tersebut adalah haram di sisi agama,'' jelas Amini merujuk hadis Bukhari Muslim dan Abu Daud.
Menukar
Abdullah bin Mas'ud berkata: Allah melaknat orang yang membuat tatu, yang meminta dibuat tatu untuknya, yang mencabut bulu di muka, yang meminta dicabutkan bulu di mukanya dan orang yang menjarangkan gigi untuk kecantikan, kerana mereka semua telah menukarkan ciptaan Allah.
Riwayat di atas juga jelas menunjukkan bahawa perbuatan membuat tatu, mencabut bulu-bulu yang
terdapat di muka termasuk kening, menjarangkan gigi merupakan yang dilaknat oleh Allah kerana ia
mengubah ciptaan-Nya.
Beliau menyatakan sebuah lagi hadis daripada Aisyah. Suatu hari isteri Abu Ishaq menziarahi isteri Rasulullah iaitu Aisyah dan bertanya tentang hukum wanita yang membuang bulu yang terdapat di dahi demi menambat hati suami. Lalu Aisyah menjawab, perkara itu tidak terlarang.
``Seperti yang dinyatakan Aisyah, jelas bahawa mencukur bulu kening dibenarkan sekiranya ia bertujuan menambat hati suami tetapi bagaimana si isteri hendak berhadapan dengan khalayak dengan keadaan bulu keningnya yang dicukur?''
soal beliau.
Beliau menjelaskan, sebenarnya di dalam Islam, membentuk bulu kening agar ia kelihatan kemas dan cantik di pandang, adalah diharuskan kerana ia tidak mengubah ciptaan Allah s.w.t.
Sebaliknya, jika membuangnya sampai habis, sama ada dengan bercukur, mencabut atau menggunakan ubat hingga mengubah fitrah asal adalah diharamkan. Begitu juga jika mengupah orang lain mencabut dan mencukur bulu kening.
Tambah Amini, mencukur bulu kening juga tidak boleh dilakukan oleh golongan lelaki transeksual.
``Pernah berlaku sebuah kisah, seorang wanita mempunyai bulu muka yang panjang hingga kelihatan sangat hodoh dan mengaibkan. Keadaan ini membenarkan dia bercukur untuk menghilangkan perasaan malu berhadapan dengan masyarakat.
``Wanita yang kelihatan seolah-olah mempunyai misai juga diharuskan bercukur kerana ia menjadi bahan bualan dan mengaibkan dirinya,'' ujar beliau dengan memberikan beberapa contoh.
Amini menjelaskan lagi, menurut Imam Nawawi, adalah digalak-
kan bagi wanita yang mempunyai misai dan janggut supaya mencabutnya. Perbuatan sebegini walaupun termasuk dalam mengubah ciptaan Allah s.w.t. tetapi diharuskan.
Habis
Tambah Amini, ada juga sesetengah wanita yang gemar mentatu bulu keningnya, sedangkan yang asal dicukur sampai habis.
Jelas di dalam hadis yang dibawa oleh Ibnu Umar r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. melaknat orang yang menyambung rambutnya dengan rambut orang lain. Juga orang yang meminta rambutnya disambung dengan rambut orang lain.
Demikian juga Allah melaknat orang yang mencacah kulitnya (bertatu dengan gambar, tulisan dan sebagainya) serta orang yang meminta ditatu. (Muttafaq `alaih)
``Ada pendapat menyatakan apabila bertatu, air sembahyang tidak meresap di badan. Jadi semasa kita membasuh muka mengambil air sembahyang, macam mana pula keadaannya?'' kata Amini yang turut menasihati kaum wanita agar menjauhi tindakan mentatu bulu kening.
Beliau menasihati anak-anak muda hari ini, terutama remaja perempuan supaya tidak mencukur bulu kening tanpa sebab yang munasabah kerana kejadian asal bulu kening itu adalah sempurna dan cantik.
Seboleh-bolehnya, janganlah terpengaruh dengan budaya dan fesyen dari Barat tetapi berpegang teguhlah pada agama. Tetapi disunatkan mencukur bulu ketiak dan bulu kemaluan setiap 40 hari.
No comments:
Post a Comment