Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Tuesday, July 6, 2010

Beberapa Kisah Jatuh Bangun Tamadun Manusia Dalam Al-Quran: Pengajaran dan Pengiktibaran
Dr. Amini Amir Abdullah
Universiti Putra Malaysia
(Diterima untuk pembentangan di Universiti Teknologi Petronas)

Pengenalan

Al-Quran adalah kitab suci dan hidayah daripada Allah s.w.t.. Di dalamnya terkandung berbagai kisah-kisah umat dan tamadun terdahulu sebagai pengiktibaran kepada umat manusia. Sebenarnya, Allah s.w.t. memerihalkan kisah umat-umat terdahulu untuk manusia mengambil perkara-perkara positif kejayaan yang dilalui oleh umat-umat terdahulu dan berhati-hati serta berwaspada (dengan mengambil pengiktibaran) dengan kepincangan yang telah menyebabkan kehancuran mereka agar manusia dapat menjalani kehidupan di dunia ini dengan penuh kemakmuran dan tenteram serta mendapat nikmat syurga Allah yang kekal di Akhirat kelak.

Signifikan Al-Quran

Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk disampaikan kepada umat manusia. Al-Quran adalah teras epistemologi dan aksiologi Islam dan merupakan panduan kehidupan manusia dan penghayatan spirituil yang mesti diikuti sepenuhnya. Ia adalah kitab hidayah yang sempurna yang datangnya daripada Allah s.w.t.. Ia juga menjadi petunjuk bagi orang-orang yang hendak bertakwa. Al-Quran juga mengesahkan Kitab-kitab terdahulu. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (kisah Nabi-nabi Yang terkandung Dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. Alif, Laam, Miim, Raa'. ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran); dan apa yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dari Tuhanmu adalah benar; tetapi kebanyakan manusia tidak (mahu) beriman.” (Surah Yusuf: 111-112)

Orang yang membaca, menghayati dan mengamalkan Al-Quran beroleh ketenangan jiwa. Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah" adalah orang yang beruntung. Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia yang ikhlas dan bertujuan mendapat keredhaan Allah s.w.t..

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Ra’d ayat 28-29: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan zikrullah". ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.”

I’jaz Al-Quran ataupun keistimewaan Al-Quran mencakupi keaslian Al-Quran yang datang daripada Allah dan merupakan wahyu Ilahi. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (Surah Al-Nisa’: 82)

Al-Quran juga menjelaskan segala perkara asas dan prinsipal untuk kebahagiaan dan kesejahteraan hidup manusia di dunia dan di Akhirat. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayat petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.” (Surah Al-A’raf: 52)

Al-Quran juga mempertegaskan kewujudan Kitab-kitab suci sebelumnya dan memperjelaskan hakikat syariat. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan bukanlah Al-Quran ini sesuatu yang boleh diada-adakan oleh yang lain dari Allah; tetapi Al-Quran itu diturunkan oleh Allah untuk membenarkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum Syarak yang diwajibkan (atas kamu); tidak ada sebarang syak dan ragu-ragu pada Al-Quran itu tentang datangnya dari Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.” (Surah Yunus: 37)

Al-Quran juga adalah penawar rohani dan spirituil manusia kerana Allahlah yang mencipta manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur) dan apabila dia merasai kesusahan, jadilah dia berputus asa. Katakanlah (wahai Muhammad): Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri; maka Tuhan kamu lebih mengetahui siapakah (di antara kamu) yang lebih betul jalannya.” (Surah Al-Isra’: 82-84)

Kenapa Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab? Hal ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam firmanNya yang bermaksud: “Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab? Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (Al-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar) dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata).” (Surah Fussilat: 44)

Kemanfaatan Al-Quran memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Ia mempunyai keberkatan termasuklah bagi orang yang membaca, memahami dan mengamalkannya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksudd: “Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya dan bertakwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-An’am: 155)

Al-Quran juga menjadi rujukan kehidupan kerana ia datangnya daripada Allah s.w.t.. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” (Al-Nisa’: 59)

Faktor-faktor Jatuh Bangun Tamadun Manusia: Perspektif Al-Quran

Di antara faktor berlakunya kemusnahan sesuatu tamadun adalah kerana menolak risalah Allah yang dibawa oleh para Rasul ataupun Nabi. Terdapat juga kaum yang dibinasakan Allah kerana dosa yang mereka lakukan terutamanya mendustakan ayat-ayat Allah, melakukan kezaliman dan penindasan, tidak mensyukuri nikmat Allah ataupun mengingkarinya, menjadi fasiq, tidak menghiraukan peringatan ataupun amaran Allah, atau menyembah selain daripada Allah atau melakukan ancaman-ancaman terhadap para Rasul ataupun Nabi.

Allah s.w.t boleh menghancurkan tamadun manusia secara spontan. Dalam Surah Yasin ayat 29-31, Allah s.w.t. telah menjelaskan yang bermaksud: ”Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya. (kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi. Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa Yang menimpa hamba-hamba (yang mengingkari kebenaran)! tidak datang kepada mereka seorang Rasul melainkan mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya. Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka? Umat-umat yang telah binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka (bahkan kembali kepada kami, untuk menerima balasan).”

Kaum ‘Ad (Kaum Nabi Hud), Thamud (Kaum Nabi Soleh), Kaum Nabi Lut dan Penduduk Aikah

Kaum Nabi Nuh, kaum Nabi Hud (‘Ad), Firaun, kaum Nabi Soleh (Thamud), kaum Nabi Lut dan penduduk Aikah mendustakan Rasul yang diutuskan kepada mereka dan menentang kebenaran. Sebab itu mereka telah dimusnahkan oleh Allah s.w.t.. Dalam Surah Sad: ayat 12-15, Allah s.w.t. telah menjelaskan yang bermaksud: “Sebelum mereka itu, kaum Nabi Nuh, dan ‘Ad (kaum Nabi Hud), serta Firaun yang mempunyai kerajaan yang kuat, telah juga mendustakan Rasul masing-masing. Dan juga Thamud (kaum Nabi Soleh), dan kaum Nabi Lut, serta penduduk Aikah; merekalah kumpulan-kumpulan (yang menentang kebenaran). Tidak ada satupun dari kaum-kaum Yang tersebut, melainkan telah mendustakan Rasul-rasul; maka berhaklah mereka ditimpa azab. Dan orang-orang ini (yang menentang Nabi Muhammad), tidak menunggu melainkan satu jeritan suara Yang tidak akan berulang lagi.

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Ankabut ayat 38 yang bermaksud: “Dan (ingatkanlah peristiwa kebinasaan) ‘Ad (kaum Nabi Hud) dan Thamud (kaum Nabi Soleh); dan telahpun ternyata kepada kamu sebahagian dari bekas-bekas tempat kediaman mereka; dan (kebinasaan mereka yang demikian ialah disebabkan) Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka: amal-amal mereka (yang jahat itu), lalu ia menghalangi mereka dari jalan Allah; padahal mereka orang-orang yang bijak pandai dan berakal (yang dapat membezakan yang benar dan yang salah).”

Walaupun kaum ‘Ad dan Thamud merupakan kelompok intelektual, mereka telah dimusnahkan oleh Allah s.w.t. kerana terpengaruh oleh bisikan syaitan yang menghalang mereka daripada melihat kebenaran ajaran Allah s.w.t..

Kisah hukuman Allah terhadap umat-umat para Nabi Nuh, Hud dan Soleh diceritakan oleh Allah s.w.t. dalam Surah Al-Haj ayat 45: “Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong dan ditinggalkan). Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.”

Di antara sebab kemusnahan tamadun juga yang boleh didapati daripada ayat ini ialah kezaliman penduduk dalam sesebuah tamadun atau sesuatu masyarakat. Seperkara lagi, Allah tegaskan bahawa keperluan kita untuk mengobservasi peninggalan tamadun-tamadun lampau agar kita dapat mengambil pengajaran di sebalik kemusnahan umat-umat terdahulu. Itupun bukan sekadar lawatan melihat peninggalan arkeologi atau warisan sejarah semata-mata, tetapi perlunya satu penelitian yang tuntas dengan mata hati sehingga difahami pengertian di dalamnya.
Kaum Thamud dihancurkan oleh Allah s.w.t. dengan sekelip mata. Dalam Surah Al-Qamar ayat 30-32, Allah s.w.t. telah menjelaskan yang bermaksud: ”Maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu! Sesungguhnya Kami hantarkan kepada mereka satu pekikan (yang dahsyat), lalu menjadilah mereka (hancur) seperti ranting-ranting dan daun-daun yang pecah hancur, yang dikumpulkan oleh pemilik kandang binatang ternak. Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?”

Dalam ayat ini Allah s.w.t. menjelaskan kehancuran tamadun kaum Thamud di Palestin yang dimusnahkan sebagai satu peringatan dan pengajaran daripada Allah s.w.t.. Hakikat ini adalah sentiasa benar sekiranya kita amati semua kisah jatuh-bangunnya tamadun manusia dalam Al-Quran. Sebagai contoh, Allah s.w.t. jelaskan dalam Surah Al-Ankabut ayat 35 yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya, Kami telah (binasakan bandar itu dan telah) tinggalkan bekas-bekasnya sebagai satu tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang-orang yang mahu memahaminya.”

Empangan Ma’arib, Banjir Besar dan Tamadun Saba’

Kisah Empangan Ma’arib dan peristiwa banjir besar cukup menarik untuk dijadikan teladan tentang jatuh-bangunnya tamadun manusia. Cerita tentang empangan ini berkisar tentang mata air yang datang daripada 2 gunung di antaranya dan aliran air dari hujan dan lembah-lembah di sekitarnya. Maharaja mereka membina empangan yang cukup besar dan teguh. Penduduk di sekitarnya mendapat produk pertanian yang cukup baik dan berkualiti serta penghasilan yang meningkat. Dikatakan bahawa tanah di sekitarnya tiada lalat, nyamuk, serangga atau tikus kerana cuacanya yang begitu baik dan penduduknya yang sihat-sihat belaka.

Kita mengetahui mengenai beberapa perkara berkaitan tamadun Saba’ di dalam Al-Quran. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Naml ayat 22-24 yang bermaksud: ”..Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara Yang Engkau tidak cukup mengetahuinya, dan Aku datang kepadamu dari negeri Saba' Dengan membawa khabar berita Yang diyakini kebenarannya. "Sesungguhnya Aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana Yang besar. "Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari Dengan meninggalkan Ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk, -”

Ibn Abbas, Wahb bin Munabbih, Qatadah dan beberapa yang lain berpendapat bahawa apabila Allah ingin menghukum umat ini dengan banjir besar, Allah menghantar tikus-tikus besar yang membuat lubang dalam empangan itu lalu berlakulah banjir besar itu. Banjir besar inilah yang memusnahkan semuanya dalam laluannya seperti bangunan-bangunan, pokok dan seumpamanya.


Bangsa Yahudi atau Bani Israel

Bangsa Yahudi atau Bani Israel adalah di antara bangsa-bangsa yang sering disebut di dalam Al-Quran. Sebilangan Nabi dan Rasul telah diutuskan kepada bangsa Yahudi atau Bani Israel untuk membawa mereka kepada kebenaran dan kisah ini banyak diceritakan di dalam al-Quran.

Dalam Surah Al-Baqarah ayat 41-42, Allah s.w.t menceritakan yang bermaksud: “Dan berimanlah kamu dengan apa yang aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa. Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.

Menurut Al-Tabari, Kitab yang disuruh oleh Allah untuk diimani oleh orang-orang Yahudi ialah Taurat dan Injil dan maksud ”ayat-ayat Allah” dalam terjemahan Al-Quran di atas merujuk kepada Taurat dan Injil juga.

Tetapi bangsa Yahudi adalah satu kaum yang sangat degil dan keras hati. Syariat yang dibawa oleh para nabi dan rasul itu bukan sahaja ditolak malah mereka turut dimusuhi dan ada di antaranya yang dibunuh oleh Bani Israel. Di dalam Al-Quran (Surah Al-Isra’) diterangkan perihal kaum Yahudi Bani Israel yang sentiasa menderhaka kepada Allah s.w.t. dan bertindak ganas kepada umat manusia, dan kerana itulah mereka telah menerima kehancuran di Palestin (kali yang pertama di tangan raja Babylon dan kali yang kedua di tangan Raja Rom). Lalu diberi amaran selagi mereka menderhaka dan menceroboh maka selama itulah juga Allah akan menggerakkan umat-umat yang lain untuk menyerang, memburu dan menghancurkan mereka. Bagi umat Islam, kisah Bani Israel di dalam Al-Quran adalah sebagai tamthil dan teladan serta suatu kaum di antara hamba-hambanya yang engkar, takbur dan menentang perintahNya.

Ketika zaman Firaun, berlaku gerakan penghapusan etnik Yahudi daripada bumi Mesir dan wilayah yang dinaungi oleh Firaun. Firaun telah mengarahkan agar semua anak-anak lelaki dibunuh. Hal ini diceritakan oleh Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 49-50: “Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, Yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian Yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan Yang besar dari Tuhan kamu. Dan (kenangkanlah) ketika Kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.”

Allah s.w.t. telah menyelamatkan orang Yahudi daripada pengejaran tentera Firaun dengan membelah Laut Merah dan menenggelamkan Firaun dan bala tenteranya dalam laut tersebut.


Kaum Nabi ’Isa a.s.

Nabi Isa sebenarnya terdiri daripada keluarga Imran (Ali Imran) dan Allah telah menceritakan perihal kesesatan kaum Nasrani yang menganggap Nabi Isa sebagai Tuhan atau Anak Tuhan. (Surah Ali Imran) Allah memperingatkan tentang ancaman orang-orang Yahudi dan Nasrani sejak dahulu lagi. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Baqarah ayat 109 yang bermaksud: “Banyak di antara ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki Yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua Yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat Segala Yang kamu kerjakan.


Kaum Nabi Nuh a.s. dan Kaum Nabi Syu’ib a.s.

Kejatuhan kaum Nabi Nuh adalah akibat balasan Allah s.w.t. ditelenggami oleh banjir besar. Hal ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam Surah Al-Mu’minun ayat 27-28 yang bermaksud:

Lalu Kami wahyukan kepadanya: "Buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); kemudian apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka, dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), maka masukkanlah ke dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap jenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu (dan pengikut-pengikutmu) kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya di antara mereka (disebabkan kekufurannya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan dengan taufan sehingga mati lemas. Kemudian apabila Engkau dan orang-orang Yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu maka hendaklah Engkau (bersyukur kepada Allah dengan) berkata: `Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menyelamatkan Kami daripada orang-orang Yang zalim '.

Kaum Nabi Nuh a.s. sombong dan bongkak apabila mereka merendah-rendahkan amaran Allah s.w.t. untuk menurunkan bala bencana kepada mereka. Dalam Surah Saba’ ayat 16-17, Allah s.w.t. telah menjelaskan yang bermaksud: ”Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara. Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang amat kufur.”

Dalam Surah Saba’ ayat 18, Allah menggambarkan tamadun atau negara yang menerima nikmat Allah sebagai balasan atas ketaatan mereka. Firman Allah yang bermaksud: ”Dan - di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), - Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui jalan itu), dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): "berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman".

Allah s.w.t. memperingatkan umat manusia agar tidak alpa dan lupa dengan nikmat kemewahan dan kemakmuran yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t.. Peringatan ini jelas sebagai satu pengiktibaran dalam peristiwa yang menimpa Kaum Saba’. Manifestasi kemurkaan Allah terhadap umat manusia yang melakukan maksiat dan tingkahlaku sosial yang songsang dapat dilihat dalam bencana yang ditimpakan oleh Allah s.w.t. terhadap kaum Lut. Bala dan bencana Allah juga ditimpakan ke atas mereka yang menolak seruan dakwah para Nabi Allah a.s.

Kaum Nabi Syuaib a.s. bukan sahaja mengingkari perutusan Nabi Syuaib sendiri bahkan mengamalkan apa yang dilarang oleh Allah s.w.t. dalam perniagaan iaitu riba serta melakukan penipuan dalam perdagangan seperti penipuan timbangan dan penindasan. Allah s.w.t. menceritakan dalam Surah Hud ayat 84-85 yang bermaksud: ”Dan kepada penduduk "Madyan" Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib. ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya Aku melihat kamu berada dalam kemewahan; dan sesungguhnya Aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi (orang-orang yang bersalah). Dan Wahai kaumku! sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-benda yang menjadi haknya, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.”

Semua Rasul dan Nabi dihantar oleh Allah kepada umat manusia untuk mendidik manusia dan membawa manusia kepada jalan yang benar iaitu yang diredhai oleh Allah s.w.t.. Dalam Surah Al-Ankabut ayat 28-29, Allah s.w.t. telah menjelaskan yang bermaksud: “Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi Lut tatkata ia berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorangpun dari penduduk alam ini sebelum kamu. "Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu iaitu merompak musafir)? dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat-tempat perhimpunan kamu?" maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): "Datangkanlah kepada Kami azab dari Allah (yang Engkau janjikan itu) jika betul Engkau dari orang-orang yang benar".

Dalam ayat ini juga Allah s.w.t. telah menjelaskan tingkahlaku sosial songsang umat Nabi Lut yang memuaskan nafsu syahwat kepada golongan sejenis, merompak dan melakukan perbuatan munkar secara terbuka. Kaum Nabi Lut dikatakan sebagai kumpulan manusia yang pertama di dunia melakukan amalan homoseksual. Oleh kerana amalan ini ditegah oleh Allah s.w.t., maka ia adalah amalan yang bertentangan dengan kehendak Allah s.w.t. yang membawa kepada kehancuran umat ini. Mereka juga tidak mempercayai azab Allah s.w.t. dan mengejek Nabi Lut. Perkara ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam Surah Al-Hijr: 68-75 yang bermaksud: ”Nabi Lut berkata: "Sesungguhnya mereka ini tetamuku, maka janganlah kamu memberi malu kepadaku". "Dan takutlah kamu kepada Allah serta janganlah kamu menghinakan daku". Mereka menjawab: "Bukankah Kami telah melarangmu jangan menerima sebarang tetamu dari orang ramai (atau memberi perlindungan kepada mereka)?" Nabi Lut berkata: "Di sini ada anak-anak perempuanku, kalaulah kamu mahu melakukan (secara halal). Demi umurmu (Wahai Muhammad), Sesungguhnya mereka membuta tuli dalam kemabukan maksiat mereka. Akhirnya merekapun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar. Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya.”

Kaum Nabi Lut dihancurkan oleh Allah s.w.t. dengan suara yang menggemparkan bumi, negeri mereka ditunggang-terbalikkan, ditimbuskan segala benda yang berada di atas mukabuminya dan dihujani dengan tanah yang dibakar (kemungkinan lahar gunung berapi). Kedudukan bumi kaum Nabi Lut terletak di kawasan Laut Mati sekarang ini.

Dalam Surah Al-Ankabut ayat 36-37, Allah s.w.t. telah menjelaskan situasi penduduk Madyan (tamadun?) yang membelakangkan ajaran Allah yang dibawa oleh Nabi Syuaib a.s.. Penduduk ini telah dibalas oleh Allah dengan dibinasakan oleh kejadian gempa bumi. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan (Kami utuskan) kepada penduduk Madyan saudara mereka: Nabi Syuaib; lalu ia berkata: "Wahai kaumku, Sembahlah kamu akan Allah, dan kerjakanlah amal soleh Dengan mengharapkan pahala akhirat, dan janganlah kamu melakukan kerosakan di bumi". Maka mereka mendustakannya, lalu mereka dibinasakan oleh gempa bumi, serta menjadilah mereka mayat-mayat Yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.

Di antara dakwah Nabi Syu’ib kepada penduduknya ialah seperti berikut:

i. Seruan untuk menyembah Allah semata-mata

ii. Seruan untuk beribadah dengan sepenuh ketulusan hati

iii. Mengharapkan pembalasan baik Allah di Hari Akhirat

iv. Menanam sikap gentar dengan azab Allah di Hari Pembalasan.

v. Larangan melakukan penindasan dan kerosakan di atas muka bumi Allah.

 
Tamadun Qarun, Firaun dan Haman

Kelompok ini menolak seruan dakwah oleh Nabi Musa a.s. walaupun ditunjukkan beberapa mukjizat yang membuktikan kebenaran risalah Nabi Musa a.s.. Tambahan lagi, mereka sombong dan takbur di atas muka bumi Allah ini. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Dan (ingatkanlah juga peristiwa kebinasaan) Qarun dan Firaun serta Haman. dan demi sesungguhnya Nabi Musa telah datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang jelas nyata, lalu mereka berlaku sombong takbur di bumi (mendustakannya), padahal mereka tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah). Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, Iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu (Hasiban); dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan Dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah Yang menganiaya diri sendiri.” (Al-Ankabut: 39-40)

Qarun, Firaun dan Haman dibinasakan sama kaedahnya seperti kaum Nabi Lut iaitu dikenakan angin rebut dan hujan batu yang dinamakan (Hasiba). Manakala mereka juga ditimpakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi (Al-Saihah) sama seperti Kaum Thamud dan Shuaib. Kaum Nabi Nuh dan Firaun serta pengikut-pengikut Firaun pula ditenggelamkan di dalam laut.

Pada asasnya, jika Allah s.w.t. ingin memusnahkan sesuatu tamadun atau negara atau kaum, Allah akan membiarkan orang-orang mewah untuk menderhaka kepada Allah selepas diarahkan untuk taat kepada Allah s.w.t.. Ada juga pendapat yang menyatakan ditambah populasi dalam masyarakat itu. Maka sesudah itu akan berlaku ketentuan Allah iaitu dibala dengan bencana sebagai balasan bagi mereka yang mengingkari Allah s.w.t. Ini jelas dalam firman Allah Surah Al-Isra’ ayat 16-17 yang bermaksud: ”Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. Dan berapa banyak umat-umat yang Kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (Wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya.

Rumusan daripada ayat ini menunjukkan bahawa akan diutuskan Rasul kepada sesuatu kaum untuk menyampaikan ajaran Allah s.w.t. sebelum kaum itu akan ditimpa dengan bala bencana seandainya mereka menderhaka kepada Allah s.w.t..

Kesimpulan

Sebagai manusia yang berpegang kepada hakikat ajaran Allah s.w.t., kita perlu sentiasa istiqamah dalam menunaikan titah perintah Allah s.w..t.. Tidak mustahil bala bencana Allah s.w.t. akan menimpa kita seperti umat terdahulu seandainya kita ingkar terhadap ajaran Allah s.w.t. atau melakukan maksiat kepadaNya.



5 comments:

Anonymous said...

salam,Dr. Amini, bolehkah dr. menceritakan dengan lebih lanjut tentang Tamadun Saba'; zaman permulaanya,kegemilangannya,kejatuhannya serta sumbangannya kepada masyarakat dunia, jika boleh.Tidak banyak maklumat mengenainya bole dijumpai saya.

Unknown said...

Salam Dr, saya telah membaca artikel yang ditulis oleh Dr dan hanya ingin memberitahu pada Dr, babhawa artikel ini tlah memberi inspirasi pada saya untuk terus semangat dan tabah menghadapi dugaan dalam kehidupan.

Harap Dr, bisa perbanyakkan lagi artikel seperti ini.

Dr. Amini Amir Abdullah said...

Salam Mira, Janganlah dipuji melambung...Terima kasih atas penghargaan dan pengiktirafan...
Saya akan perbanyakkan lagi artikel seperti ini.

su said...
This comment has been removed by the author.
su said...

assalamualaikum doktor..adakah ini artiekl penuh atau sebahagiannya sahaja..jika sebahagian sahaja..bolehkah saya dapatkan artikel doktor ni untuk dijadikan rujukan tesis master saya..semoga allah dapat membalasnya

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak