Suara Pusat Islam Universiti, UPM
9 Oktober 2009
Al-Ghazali telah menulis masalah pendidikan dalam sejumlah karangannya meskipun pendapat-pendapatnya yang terpenting dalam topik ini terdapat dalam kitab “Fatihah al-‘Ulum”, kitab “Ayyuha al-Walad” dan kitabnya “Ihya’ Ulumuddin. Orang yang mempelajari tulisan al-Ghazali tentang pendidikan dan persoalan-persoalannya akan mendapati bahawa al-Ghazali telah mengutarakan suatu konsep pendidikan yang sempurna, lengkap dan konkrit. Al-Ghazali menggambarkan tujuan pendidikannya sesuai dengan pandangan hidupnya dan nilai-nilai yang terkandung di dalam falsafah hidupnya. Kemudian dia meletakkan method ilmu yang menurut pendapatnya sesuai bagi tujuan dan sasaran pendidikannya. Maka dia memperkenalkan pembahagian ilmu, diberikan nilainya dan diterangkan faedah-faedahnya bagi murid-murid. Kemudian menyusun dan mengaturnya mengikut kepentingan dan manfaatnya. Kemudian diterangkan dasar-dasar yang harus dilalui oleh guru sesuai dengan ilmu-ilmu itu pada waktu melaksanakan tugas mengajar dan mendidik supaya dapat menjalankan tugas ini dengan jalan yang paling sempurna.
Minatnya mengkaji bidang pendidikan mula tercetus setelah beliau berguru dengan beberapa orang tokoh seperti Ali bin Ahmad Al-Radhkani Ibn Nasr al-Ismaili dan Imam Haramain Abi al-Ma’ali al-Juwaini. Al-Ghazali memberikan perhatian yang besar terhadap ilmu dan hal mengajar, kepercayaannya yang kuat bahawa mengajar secara benar adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah serta kebahagian dunia dan akhirat.
Al-Ghazali telah mengangkat darjat guru-guru yang soleh di mana beliau berkata “Wujud yang paling mulia di permukaan bumi ini ialah jenis manusia. Dan bahagian yang paling mulia daripada hakikat manusia ialah hatinya. Guru bekerja membersihkan dan mengiringinya dekat kepada Allah. Di satu pihak, mengajarkan ilmu itu adalah ibadah kepada Allah dan di pihak yang lain merupakan sebesar-besar jabatan khilafah Allah. Oleh kerana itu maka sesungguhnya Allah menolong hati orang alim terhadap ilmu yang merupakan salah satu sifatNya yang paling khusus. Ia juga laksana bendahara bagi jiwa yang disimpannya.” Tujuan pendidikan menurut al-Ghazali adalah kesempurnaan manusia di dunia dan akhirat. Manusia itu akan sampai kepada kesempurnaan sebab manusia itu mendapatkan keutamaan melalui ilmu pengetahuan. Keutamaan itulah yang membuatkan manusia itu bahagia di dunianya dan pendekatannya kepada Allah yang menyebabkan dia bahagia di akhiratnya. Dia berpendapat ilmu itu sendiri secara mutlak adalah kemuliaan yang tertinggi. Oleh kerana itu dia memandang, menghasilkan ilmu merupakan sasaran pendidikan kerana ilmu mempunyai nilai tertentu kerana kedapatan di dalamnya kelazatan dan sesuatu yang mengenyangkan. Konsep pendidikan al-Ghazali menekankan aspek-aspek keagamaan dan keakhlakan. Malahan beliau tidak lupa menekankan kepentingan berbagai urusan dunia iaitu budaya dan bekal hidup dan juga aspek-aspek yang mempunyai nilai-nilai manafaat. Al-Ghazali telah menekankan tiga perkara pokok sebagai asas bagi pendidikan, antaranya ialah:
1. Tentang kelebihan ilmu.
2. Tentang penjenisan ilmu dan asas kurikulumnya.
3. Tentang kelebihan ilmu.
4. Tentang penjenisan ilmu dan asas kurikulumnya.
5. Disiplin guru dan murid.
Al-Ghazali pernah menulis tentang kelebihan ilmu keutamaan dan kepentingannya. Katanya: “. . . Ilmu yang paling utama ialah ilmu yang berguna dan bermanafaat terhadap agama, iaitu yang dapat menghantar anda menuju ketakwaan kepada Allah, membuka kesedaran anda untuk menyaksikan aib yang terdapat dalam dirimu. Memperdalamkan makrifat terhadap ibadah kepada tuhanmu. Mengurangi hasratmu yang berlebihan terhadap cacat cela segala macam amal perbuatanmu sehingga anda dapat menjaga jangan sampai terulang lagi perbuatan yang buruk itu, malah membuat anda lebih waspada dan berhati-hati terhadap godaan syaitan dan cara tipu dayanya.” Al-Ghazali juga menegaskan bahawa hakikat ilmu yang sebenarnya ialah yang mengandungi suatu pengertian hingga orang yang mencari ilmu dapat melihat hubungan ghaib antara manusia dan Maha Pencipta yang menjadikannya kemudian hendaklah seluruh jiwaraga mengabdi diri dengan penuh rasa takut dn khusuC kepada Allah. Sikap fikiran seperti ini harus dipelajari kerana ia akan membawa rasa tawaduk dan dapat menangkis sifat sombong dan angkuh. Al-Ghazali membahagikan ilmu-ilmu itu kepada tiga himpunan besar.
Ilmu-ilmu yang dicela ialah ilmu yang tidak dapat diharapkan manfaatnya di dunia dan di akhirat, umpamanya ilmu sihir, ilmu nujum dan ilmu ramalan. Al-Ghazali menjelaskan sebab-sebab ilmu ini dicela, iaitu sebab pertama: Ilmu ini kadang-kadang membahayakan pemiliknya atau membahayakan lain. Sihir misalnya seringkali dipergunakan untuk memecahkan di antara kaum kerabat dan sahabat taulan. Sebab kedua, kadang-kadang ilmu itu membahayakan pemiliknya seperti ilmu nujum yang dibahagikan oleh al-Ghazali ke dalam dua bahagian, iaitu : Ilmu nujum yang berdasarkan hitungan atau astronomi. Beliau berpendapat ilmu ini tidak tercela. Keduanya ilmu nujum berdasarkan mencari keterangan iaitu astrologi dan tukang ramal yang meramalkan sesuatu dengan petunjuk bintang. Astrologi dicela oleh syarak kerana kadang-kadang menyebabkan manusia ragu-ragu mengenai Allah sehingga mereka kufur kepada Allah. Sebab ketiga: Kadang-kadang menyelami sebahagian ilmu-ilmu itu tiada faedahnya, kerana itulah ia menjadi ilmu yang tercela. Kadang-kadang dalam membahaskan pelajarannya menjurus ke arah kekufuran kepada Allah. Ilmu-ilmu ini ialah seperti ilmu metafizik. Ilmu-ilmu yang terpuji secara mutlak pula ialah pelajaran-pelajaran agama dan ibadat yang merangkumi segala aspek. Ilmu-ilmu itu membawa kepada kebersihan jiwa dan membersihkannya daripada kekotoran dan membantu mengetahui kebaikan dan mengamalkannya. Ia juga mengajarkan manusia cara-cara berusaha dan mendekatkan diri manusia untuk menghadapi dunia yang terakhir yang merupakan dunia yang kekal. Ilmu-ilmu yang di antaranya mempunyai tingkat terbatas ialah ilmu-ilmu yang bila dipelajari secara mendalam menyebabkan keraguan dan kebimbangan fikiran manusia dan seringkali mendatangkan kufur, misalnya sebahagian cabang-cabang falsafah seperti teologi dan sebahagian aliran ilmu Kalam.
No comments:
Post a Comment