Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Friday, December 23, 2011

Wawancara Dengan BERNAMA: Hijrah Dan Transformasi Tuju Matlamat Serupa Jadikan Keadaan Lebih Baik 24 November, 2011 12:15 PM

Hijrah Dan Transformasi Tuju Matlamat Serupa Jadikan Keadaan Lebih Baik

Oleh Mohd Yusof Saari

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Ahad ini, umat Islam akan menyambut kedatangan Muharam menandakan tibanya tahun 1433 Hijrah, yang mengingatkan mereka kepada penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah 1,389 tahun yang lepas.

Banyak pengajaran boleh diambil daripada peristiwa hijrah Rasulullah dan para sahabat pada 20 Sept tahun 622 Masihi itu yang menjurus kepada pengukuhan dan peningkatan iman, takwa dan pasrah Baginda serta kelompok kecil pengikutnya kepada Allah SWT yang akhirnya mewujudkan sebuah tamadun manusia tersohor.

Istilah hijrah dan transformasi sebenarnya berdiri di atas semangat, konsep dan tujuan yang sama iaitu membawa masyarakat ke arah kehidupan lebih baik.

Justeru, penting bagi semua umat manusia khususnya masyarakat Islam di Malaysia mengangkat peristiwa bersejarah yang menjadi titik permulaan dalam kalendar Islam itu dikaji, dikembang dan diterapkan dalam kehidupan seharian.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah merupakan tindakan pelan jangka panjang berstrategi, yang mencetuskan transformasi besar melalui pembentukan Piagam Madinah.

Ia seterusnya menginjakkan komuniti yang sebelumnya mundur menjadi sebuah masyarakat yang maju, proaktif dan saling menghormati.

Katanya berdasarkan semangat hijrah, sokongan seharusnya diberi kepada pelan kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Bagi Nik Mustapha, segala usaha kerajaan dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat yang terkandung dalam program transformasi adalah menepati makna, semangat dan matlamat hijrah.

Katanya persamaan semangat itu juga dinyatakan menerusi cabaran yang terkandung dalam Wawasan 2020 yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1992, cuma ketika ini apa yang dilaksanakan kerajaan terkandung dalam satu istilah -- transformasi.

Dr Amini Amir Abdullah, dari Universiti Putra Malaysia (UPM), pula berpendapat masyarakat tidak harus keliru dan melihat hijrah dalam erti kata perpindahan semata-mata, sebaliknya ia perlu dianggap sebagai perintah Allah dalam merancang dan mentransformasi kehidupan bermasyarakat.

Dr Amini, pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan UPM, berkata usaha pembangunan yang sedang dilakukan kerajaan adalah satu bentuk transformasi yang disunahkan Rasulullah sejak sekian lama, cuma pengertiannya telah dikembangkan berdasarkan keadaan semasa.

Menurut beliau, transformasi yang dilakukan kerajaan ketika ini adalah anjakan paradigma dalam konteks ekonomi dan kehidupan, satu percambahan makna terhadap pengertian asal hijrah yang dicetuskan Rasulullah dan para sahabat Baginda.

Katanya iktibar daripada pengorbanan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat sehingga Islam berjaya dikembangkan merupakan model yang perlu dicontohi dan diteruskan.

Cuma pengertian di sebalik konsep hijrah itu perlu diberi nafas baru dengan suntikan elemen transformasi lebih menyeluruh termasuk pembangunan fizikal negara, kata Dr Amini.

"Dulu hijrah selalu kita lihat sebagai perpindahan dari Mekah ke Madinah sahaja, namun dalam pengertian lebih luas sekarang ini, ia boleh disebut sebagai transformasi yang mana matlamatnya adalah sama iaitu mengubah taraf kehidupan daripada baik kepada keadaan lebih baik," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak