Ramadan: Berjuta Kerahmatan dan Berlimpah Keampunan Allah
12 Ogos 2011
Ramadan digelar sebagai bulan rahmat, bulan keampunan dan bulan pembebasan dari api neraka. Namun demikian ramai dari kalangan kita yang tidak mengetahui apakah kesan yang terbaik yang kita dapati hasil dari pentarbiahan diri selama sebulan dalam bulan Ramadan. Dalam sebuah riwayat, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kelebihan hari Jumaat pada bulan Ramadan atas segala hari yang lain seperti kelebihan Ramadan atas segala bulan Ramadan atas segala hari yang lain seperti kelebihan Ramadan atas segala bulan”. Peningkatan amal patut dilakukan pada bulan Ramadan kerana sangat besar keistimewaannya melakukan amal ibadah pada bulan ini; bulan penuh ganjaran dan melipatkali gandanya pahala. Di antara kesan yang akan dapat diperolehi bagi Mukmin yang benar-benar menghayati erti Ramadan ialah menimbulkan perasaan belas kasihan dan kasih sayang kepada fakir miskin, anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan orang-orang yang kurang upaya, membentuk sifat esprit de corp dalam keluarga dengan solat, makan dan beribadah bersama-sama bagi membina keluarga sakinah dan bahagia, membiasakan diri dengan amal kebajikan dan menahan diri daripada terjatuh ke lembah maksiat dan dosa, memelihara dan menjana sifat amanah dalam melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya serta memupuk semangat persaudaraan Islam dan membentuk perpaduan serta kekuatan ummah.
Berbuatlah ibadah sepanjang hayat kerana sebaik-baik bekalan yang akan kita bawa adalah ketakwaan kepada Ilahi. Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ `Ulumuddin mengkategorikan orang yang berpuasa itu kepada tiga golongan, iaitu: Puasa golongan awam, iaitu orang yang hanya menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh sahaja, kedua, puasa golongan Ahlul Khawas, iaitu orang yang menahan dirinya dari makan dan minum serta syahwatnya kerana Allah dengan mengharapkan keampunan dan syurga atau terhindar dari neraka dan ketiga, puasa golongan Khawasul Khawas (atau Ahlul Ma’rifat), iaitu orang yang menahan diri dari makan dan minum serta syahwat juga menahan hati dan segala pancaindera daripada segala yang tidak disukai Allah s.w.t. kerana semata-mata mengharapkan keredaan Allah s.w.t. semata-mata.
Pantang larang orang yang berpuasa perlulah sentiasa dipatuhi termasuklah segala hokum hakamnya. Kita perlukan disiplin yang kuat untuk mencegah daripada dicacatkan puasa. Antaranya ialah menundukkan dan menahan mata daripada melihat perkara yang tercela dan dimurkai Allah di samping menjaganya daripada melihat perkara yang melalaikan hati daripada mengingati Allah. Sentiasalah menjaga lidah daripada menipu, mengumpat, mencela, mengutuk, memburukkan orang lain atau melaga-lagakan mereka serta menyanyi nyanyian yang melalaikan diri kita daripada mengingati Allah. Kita hendaklah sentiasa membasahkan bibir dengan membaca Al-Quran, berzikir dan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan memperbanyakkan mengingati Allah dan banyak beribadah sunat dan bersedekah. Jangan lupa menahan pendengaran daripada mendengar perkara yang dilarang kerana setiap apa yang diharamkan mengeluarkannya daripada mulut maka ia turut diharamkan daripada mendengarnya. Sebab itulah Allah menyamakan mereka yang mendengar perkara maksiat dengan mereka yang memakan perkara haram. Orang yang berpuasa sebenar-benarnya menahan segala anggota yang lain iaitu tangan dan kaki daripada maksiat dan dosa serta menahan perut daripada memakan perkara syubhat atau haram ketika berbuka. Janganlah kita terlalu banyak makan sekali pun halal sehingga tersumbat lubang pernafasannya kerana Allah begitu murka mereka yang terlalu banyak makan. Peliharalah hati kita agar sentiasa terikat dengan perasaan antara khauf (takut) dan raja' (terlalu mengharap) di mana hati kita sentiasa memainkan persoalan sama ada puasa kita diterima sebagai orang yang hampir kepada Allah atau pun ditolak kerana kita termasuk dalam golongan mereka yang cuai dalam beribadat. Orang yang berpuasa Ramadan melakukan persiapan rapi di bulan Sya’ban serta tidak melambat-lambatkan solat fardu. Kita sepatutnya tidak malas menjalankan ibadah-ibadah sunat di bulan Ramadan. Jadilah seorang yang pemurah dan suka bersedekah dan jangan bakhil pada harta benda. Rajin-rajinlah membaca al-Quran dan kikiskan sifat senang menjadi pemarah. Buangkan tabiat gemar berbicara perkara yang sia-sia dan dusta serta memutuskan tali silaturrahim. Jangan khianati amanah dan pertingkatkan solat berjemaah selalu. Kurangkan kebergantungan yang keterlaluan kepada makhluk dan sentiasalah membela dan menegakkan kebenaran. Pertingkatkan kekuatan bangsa dan jangan salah faham terhadap falsafah Ramadan. Jangan menjadi terlalu sibuk mempersiapkan Idulfitri hingga terabai ibadah Ramadan.
Pihak AJK masjid di Malaysia patut tidak mempersalahkan anak-anak ketika bersolat tarawih kerana membuat bising. Sediakanlah seorang atau dua pembimbing yang mengajar anak-anak melukis atau melakukan aktiviti kreatif dan inovatif di sudut lain dalam masjid. Ini akan mengelakkan anak-anak daripada melakukan sesuatu yang boleh mengganggu jemaah lain ketika berjemaah, berkuntau, membuat bising, menjerit, berlari-lari, bermain-main atau perkara-perkara negatif yang lain.
No comments:
Post a Comment