Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Wednesday, August 25, 2010

KEBERKATAN RAMADAN DAN KEAMPUNAN ALLAH S.W.T.

KEBERKATAN RAMADAN DAN KEAMPUNAN ALLAH S.W.T.
Dr. Amini Amir Abdullah
27 Ogos 2010

Hari ini, 27 Ogos 2010, sudah masuk 17 hari kita berpuasa iaitu kita berada dalam Fasa Kedua dalam pemeringkatan mereka yang mendapat rahmat, barakah dan inayah Allah s.w.t.. Kita di Fasa Kedua bulan Ramadan Al-Mubarak. Fasa Pertama ialah mendapat rahmat Allah, Fasa Kedua mendapat keampunan Allah s.w.t. dan Fasa Ketiga mendapat pembebasan daripada api neraka. Saya dapati puasa amatlah menyeronokkan kerana beberapa sebab. Pertama, bulan Ramadan adalah bulan bonus pahala semua ibadah. Kedua, kegembiraan ketika berbuka dan menyambut hariraya. Ketiga, kegembiraan ketika “bertemu” Allah s..t.. Keempat, Ramadan adalah bulan terbaik antara bulan-bulan yang lain. Kelima, keistimewaan Ramadan akan lebih ketara lagi jika ia dibandingkan dengan sebelas bulan yang lain. Walaupun semua bulan mempunyai kelebihan,, namun kelebihan Ramadan tetap tidak dapat ditandingi. Hal ini ditegaskan oleh Nabi Muhammad S.A.W dengan sabdanya yang bererti "Bulan Ramadan adalah penghulu bulan-bulan yang lain". Keenam, dalam bulan Ramadan terdapat lailatul Qadr. Malam Al-Qadar ialah sebuah malam mulia yang berlaku dalam Bulan Ramadan sahaja dan padanyalah diturunkan Al-Quran dan ianya merupakan sebuah malam yang agung dan waktu yang penuh keberkatan dan penuh rahmah. Malam tersebut merupakan malam mulia yang lebih mulia dari seribu bulan dan juga padanya berkah, keselamatan, kebaikan serta turunnya para malaikat dengan izin Allah untuk menunaikan doa-doa mereka yang memohon dan beribadah kepada Allah swt dengan ikhlas dan mengampuni dosa dan menjalankan perintah Allah s.w.t.

Puasa itu merupakan ibadah untuk bertaqarrub kepada Allah dengan meninggalkan kesenangan-kesenangan dunia. Seorang yang kaya akan mengetahui nilai nikmat Allah dengan kekayaannya itu di mana Allah telah memudahkan baginya untuk mendapatkan apa yang diinginkannya, seperti makan dan minum serta apa saja yang dibolehkan oleh Allah. Maka dengan itu, ia akan bersyukur kepada Rabbnya di atas kurnia nikmat ini dan mengingati saudaranya yang fakir. Begitu juga, ia akan berderma kepada mereka. Puasa melatih seseorang untuk menguasai jiwa, akal, emosi dan nafsu syahwatnya dan berdisiplin sentiasa sehingga ia akan mampu memimpin jiwanya demi kebahagiaan dan kebaikannya di dunia dan di akhirat serta menjauhi sifat kebinatangan.

Puasa Ramadan juga melatih kita supaya bersifat sabar. Memanglah bagi sebahagian umat Islam, berpuasa sebulan Ramadan itu menjadi satu kepayahan dan penderitaan kerana terpaksa menahan diri daripada memenuhi tabiat makan, minum dan hubungan seksual antara suami isteri di siang hari. Jasmani seseorang menjadi lemah disebabkan lapar dan dahaga, lalu dengan demikian keghairahan bekerja menjadi berkurang. Sementara itu, rohaninya menderita lantaran terpaksa menahan gelora nafsu atau syahwat yang datang secara tiba-tiba bila terpandang atau berhadapan dengan isteri. Segala kepayahan dan penderitaan ketika berpuasa diterima dengan penuh kesabaran dan kerelaan, tidak resah dan gelisah, mengingati besarnya ganjaran orang yang berpuasa dengan ikhlas kerana Allah dan besar pula balasan bagi orang yang sabar. Ini bermakna, ada tiga jenis kesabaran yang terkandung dalam ibadah puasa iaitu sabar kerana patuh mengerjakan suruhan Allah, sabar kerana mengekang hawa nafsu dan sabar kerana menderita kepayahan lapar dan dahaga. Demikianlah halnya puasa Ramadan yang antara tujuan terpentingnya melatih seseorang bersifat sabar, suatu sifat utama yang perlu dimiliki sebagai bekalan untuk menghadapi dugaan hidup yang semakin hari semakin mencabar. Sesungguhnya Ramadan menyerupai janakuasa tenaga nuklear yang dapat menjana kuasa elektrik yang menguatkan jiwa dan raga bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Allah telah menjanjikan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami akan memberikan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan”. (Surah al-Nahl: ayat 96)

Disebut dalam pelbagai riwayat bahawa waktu Lailatul Qadr secara berbilang-bilang dan tidak tetap dan berbeza-beza dari tahun ke tahun. Namun apa yang sahih daripada Rasulullah s.a.w., maka waktunya ialah pada malam ke 21, malam ke 23, malam ke 25, malam ke 27 dan malam ke 29 dalam bulan Ramadan. Pastinya waktu Lailatul Qadr ini ialah pada sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadan seperti yang disebut oleh pelbagai riwayat dan juga dalam hal ini telah terdapat satu risalah khas yang ditulis oleh Imam Hafidz al-Iraqi berkenaan malam ini. Terletaknya Lailatul Qadr pada sepuluh malam yang terakhir ialah berdasarkan riwayat dari Ummul Mukminah Asiyah ra yang berkata: “Sesungguhnya Rasulullah apabila berdekatan dengan sepuluh malam yang terakhir dalam bulan Ramadan berpesan: “Bersungguhlah (dalam ibadah) atau berwaspadalah kerana Lailatul Qadr itu pada sepuluh malam yang terakhir dari Ramadan” (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim no. 1169). Sekiranya seseorang itu dilemahkan oleh sesuatu atau tidak mampu maka hendaklah menumpukan usaha ibadahnya pada malam 23 dan ke atas ini disebabkan dari riwayat Ibn Umar ra bahawa baginda Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hendaklah kamu bersungguh mendapatkannya Lailatul Qadr pada sepuluh malam terakhir dan sekiranya kamu dilemahkan atau menjadi letih maka janganlah kamu ditewaskan pada tujuh hari yang baki” (Bukhari dan Muslim no. 1165).

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak