Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Thursday, January 7, 2010

Etika dan Moral Dalam Ekonomi Islam


Etika dan Moral Dalam Ekonomi


Allah sebagai “penguasa” (RABB), yang mencipta dan memiliki semuanya Allah dan yang menentukan segala sesuatu adalah Allah. Allah mengerti yang terbaik untuk manusia. Allah yang telah memperuntukkan undang-undang untuk mengawal dan menjaga keselamatan, kesejahteraan dan kebahagiaan manusia. Konsep “pelaburan” jangka panjang dalam sistem ekonomi Islam menekankan imbuhan atau ganjaran terbaik hasil pembabitan dalam aktiviti ekonomi Islam. Ia adalah untuk manfaat manusia dan alam di dunia dan yang lebih penting ialah balasan kebaikan di akhirat kelak. Harta yang diperoleh adalah hak milik mutlak Allah s.w.t.. Ia adalah ujian dan amanah Allah s.w.t.. Harta dan kaedah memperolehnya akan dipersoalkan di Akhirat nanti.

Etika dan Moral Dalam Ekonomi Menurut Islam
Ilmu adalah teras dalam etika ekonomi Islam yang menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan umat manusia dan juga beramal dengan ilmu itu. Daripada ilmulah, berkembang dan mantapnya segala aktiviti yang berkaitan perekonomian.
Setiap aktiviti membuat keuntungan memerlukan akhlak. Tanggungjawab sosial korporat perlu dilihat dengan lebih luas walaupun korporat lebih berorientasikan keuntungan. Tidak diketahui berapa ramai ahli perniagaan mengambil kira persoalan etika dalam aktiviti mereka. Maka kajian terperinci perlu dilakukan. Para pedagang juga diharapkan agar mengamalkan etika terhadap alam sekitar dan persekitaran yang kondusif.
Penghayatan nilai etika dan akhlak dalam segala aspek kehidupan ekonomi amatlah penting . Sikap ‘Adl (keadilan) dan Al-Ihsan perlu menjadi amalan secara istiqamah. Aktiviti ekonomi perlu dijalankan seolah-olah para peniaga melihat Allah, sekiranya para pedagang tidak dapat melihat Allah, Allah sentiasa melihat mereka.” Persoalan hukum perlu diberikan perhatian serius dalam ekonomi. Dalam etika ekonomi dan muamalah Islam serta fiqh Islam kaedah asal tentang sesuatu perkara adalah harus.
Contoh persoalan hukum dalam ekonomi adalah seperti berikut: Jualan najis haiwan adalah makruh. Bayaran hutang (orang bukan Islam) daripada jualan benda haram seperti arak adalah makruh. Menjual senjata kepada pemberontak adalah haram. Hutang tidak boleh diambil daripada pendapatan yang haram seperti mencuri, rasuah, riba dan sebagainya. Haram mengambil upah memerah anggur untuk dibuat arak. Haram menyorok barang-barang keperluan untuk mendapat keuntungan berlipat kali ganda. Haram menggunakan dan mempercayai azimat, tangkal, pelaris boleh memajukan perniagaan.
Usaha menerapkan nilai-nilai murni dalam ekonomi runcit dan borong perlu diteruskan dengan agenda untuk melindungi hak dan kepentingan pengguna. Kerajaan pula mempunyai tanggung jawab mengawal harga dan melihat kebajikan rakyat yang juga merupakan pengguna.
Manusia sebagai khalifah Allah mempunyai peranan untuk mengurus, mengendali, memelihara, memakmurkan dan mengambil manfaat daripada alam untuk tujuan ibadah kepada Allah. Aktiviti berekonomi dalam Islam adalah untuk menjalin hubungan baik dan silaturrahim dan bukannya perseteruan. Janganlah menjadi seperti Milton Friedman yang menyatakan tanggungjawab sosial peniaga atau pedagang ialah untuk memaksimakan keuntungan. Dalam etika ekonomi Islam, keuntungan mestilah difikirkan bersekali dengan persoalan etika. Bukannya terpisah-pisah daripada realiti kehidupan sehingga matlamat menghalalkan cara. Peniaga pula tidak boleh hanya memikirkan dan mementingkan soal keuntungan. Peniaga perlu wujud secara sah dan jujur dalam perniagaan dalam apa jua keadaan. Janganlah menjadi seperti lanun cetak rompak. Sebarang aktiviti ke arah pemerolehan dan pemilikan harta adalah dengan cara yang diredhai oleh Allah s.w.t.. Sebarang aktiviti yang menyanggah perintah Allah adalah tidak sah dari segi syarak.
Peniaga perlu menjauhi daripada mengenakan bayaran keterlaluan, menipu atau berbohong mengenai kualiti barangan. Sekatan dan hukuman keras perlu dikenakan kepada peniaga yang tidak amanah agar ia tidak menjadi barah dalam sistem ekonomi kita. Dunia pula adalah tempat untuk menguji manusia, siapakah yang terbaik amalannya. Justeru manusia perlu jujur, amanah dan bertanggungjawab. Segala aktiviti ekonomi haruslah selari dengan Islam kerana ia dipersoalkan di Akhirat. Beraktiviti ekonomi dengan cara tidak melanggar perintah Allah atau ibadah-ibadah fardu adalah sebahagian daripada ajaran Islam.
Peniaga perlu mengamalkan konsep amanah dan ihsan sentiasa. Kerajaan boleh campur tangan dalam sistem ekonomi untuk mewujudkan keseimbangan antara melindungi pengguna dan membenarkan peniaga membuat keuntungan. Standard moral dalam masyarakat adalah sama dengan standard moral dalam ekonomi.
Konsep pembersihan (tathir) iaitu pembersihan “daki” dan kekotoran harta dan sumber pencarian dengan cara mengeluarkan zakat adalah di antara perkara penting dalam etika ekonomi Islam. Konsep penyucian jiwa dan pengikisan sifat buruk dan keji (mazmumah) manusia (tazkiyyah) iaitu dengan mengeluarkan zakat, bersedekah dan berwakaf adalah contoh paling signifikan betapa jiwa manusia perlukan pengisian penyucian dan pembersihan sentiasa.
Peniaga juga mestilah ikhlas dalam beraktiviti ekonomi. Amalan-amalan negatif perlu dihindari daripada merosakkan agama dan bangsa sendiri. D.Y.T.M Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah, Raja Muda Perak telah bertitah: “Elemen amalan-amalan negatif turut diberikan perhatian oleh Kongres. Kongres menyuarakan bahawa terdapat Bumiputera yang membenarkan diri dipergunakan oleh bukan Bumiputera; ada yang menjual ekuiti di bawah Dasar Penswastaan kepada bukan Bumiputera, bahawa berlakunya kebocoran dalam pemberian kontrak dan pentingnya untuk Bumiputera mengikis sikap dari sekadar mengharapkan ‘handout’ atau pemberian dengan menggunakan pengaruh politik untuk cepat kaya; bahawa terdapat Bumiputera yang bersifat boros, enggan membayar hutang, tidak tekun dan tidak berdaya tahan.”[1] Membiarkan elemen perniagaan dimanipulasikan oleh pedagang yang tidak beretika adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Ketidakjujuran begitu merugikan kelompok Bumiputera dan melambatkan proses pertumbuhan ekonomi Bumiputera. Lebih malang lagi, peluang ekonomi tertutup menyebabkan Bumiputera gagal bersaing. Akhirnya kita akan gagal menyeimbangkan kedudukan ekonomi Bumiputera dengan bukan Bumiputera.
Aktiviti ekonomi adalah sebagai medium mengabdikan diri kepada Allah, bukannya untuk kepentingan diri sendiri yang tidak ketentuan. Semua aktiviti ekonomi mestilah selari dengan tuntutan Allah dan tidak melanggar larangan Allah. Penggunaan sumber-sumber mestilah secara bijaksana, secekap mungkin, tidak membazir dan memikirkan implikasi jangka pendek dan jangka panjang.
[1] Titah D.Y.T.M Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah, Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Majlis Perasmian Penutupan Kongres Ekonomi Islam Ketiga, 15 Januari 2009, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putera, Kuala Lumpur, 3.00 petang.

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak