BERMACAM kitab
tafsir al-Quran hasil usaha ulama silam yang diterjemahkan ke dalam
bahasa Melayu kini semakin mudah didapati.
Namun tidak ada satupun buku tafsir yang dikaji dan ditulis sendiri oleh
sarjana Islam Melayu, kecuali Tafsir Al-Azhar oleh Dr. Hamka.
Membongkar Rahsia Al-Quran Jilid 1 - Mukadimah Surah Al-Fatihah
bagaimanapun mengubah senario itu apabila tampil sebagai usaha sulong
dalam penyelidikan dan penulisan mentafsirkan al-Quran oleh ahli
akademik dan agama Melayu.
Tidak sebagaimana kitab-kitab tafsir yang dihasilkan oleh ahli
tafsir dan ulama Islam silam, buku Membongkar Rahsia Al-Quran ini
diusahakan berasaskan pendekatan semasa dalam perkembangan pemikiran dan
gaya hidup ummah era kini.
Ringkasnya, buku yang menjadikan surah al-Fatihah sebagai tumpuan
kajian dan tafsirannya adalah usaha nekad pakar agama Melayu Muslim
tempatan dalam usaha memperkasakan kembali peradaban Islam yang semakin
lumpuh terutamanya di kalangan orang Melayu.
Matlamat
Dengan menggariskan lapan matlamat dalam penyelidikan dan
penulisan pentafsiran yang dihasilkan dalam buku ini (dicatat dalam
pengenalan), visinya cukup jelas iaitu mendorong Melayu di negara ini
khususnya dan Nusantara amnya kembali kepada pegangan dan rujukan paling
asas dan mutlak iaitu al-Quran.
Mengguna 10 manhaj (kaedah) dalam penulisan tafsir al-Quran,
penulis yang terdiri daripada tujuh ahli panel (penulis) kalangan ahli
akademik dan agama bagaimanapun menerokai konsep baru dalam membongkar
rahsia kitab suci itu apabila mentafsirkannya berasaskan pendekatan
semasa.
Selain mengguna bahasa setempat yang mudah difahami dan diterima
orang Melayu, penyelidikan dan penulisan tafsir al-Quran kaedah ini
membolehkan pembaca lebih maklum dan insaf akan kehebatan ayat-ayat suci
al-Quran.
Pembaca juga didedahkan mengenai konsep-konsep barakah, pujian,
syukur, pemurah, penyayang, pemerintahan, ibadah, tawakal, doa, hidayah,
kebenaran dan kebatilan yang terkandung dalam surah al-Fatihah.
Tafsirannya dibuat dan dihurai satu persatu mengikut urutan
dalam kesemua tujuh ayat dalam ibu segala al-Quran itu (al-Fatihah).
Mustahak untuk anda milik senaskah buku ini kerana surah yang ditafsirkan menjadi amalan dalam solat lima waktu harian.
Selebihnya harga RM35 yang anda bayar bagi senaskah kitab tafsir
ini akan diwakafkan untuk tabung projek tafsir dalam penyelidikan dan
penulisan tafsir serta membongkar rahsia al-Quran untuk jilid-jilid
seterusnya.
Ayuh bersama kita mantapkan keilmuan dalam al-Quran bagi
memperteguhkan keimanan melalui pembacaan dan hubungilah Al Hadhari
Training Consultants di alamat nombor 56, Jalan 3/72 Seksyen 3, 43650
Bandar Baru Bangi, Selangor atau melalui talian 013-346 4005 sekarang.
Nama buku: Membongkar Rahsia Al-Quran Jilid 1- Mukadimah Surah Al-Fatihah.
Penerbit: Al Hadhari Training Consultans,Universiti Pertanian Malaysia.
Penulis: Diusahakan oleh tujuh panel penulis (Dr. Sulaiman
Ibrahim El-Barruhiy, Dr. Amini Amir Abdullah, Dr. Jamil Hashim, Dr.
Shayuthy Abd Manas, Shamsuddin Mner El-Askarey, Lt. Kol. Nawawi Daud dan
Kahiri Jalalluddin).
Tebal: 213 muka surat (tidak termasuk kata-kata aluan semua yang terlibat dan pengenalan).
Konsep: Penyelidikan, penulisan dan pentafsiran al-Quran ilmiah berasaskan pendekatan semasa untuk ummah Malaysia dan Nusantara.
Pembiayaan: Tabung Projek Tafsir al-Quran dari hasil wakaf dan amal jariah ummah.
Harga: RM35 (untuk disalur ke Tabung Projek Tafsir al-Quran) dan diedar secara percuma melalui Skim Wakaf.
Diterbitkan: 31 Ogos 2007. Cetakan pertama 2008.